May 11, 2016

Nyaris dirogol dalam tandas

FOTO ihsan pembaca

Mazizul Dani
mazizul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang wanita berusia 30 tahun nyaris dirogol seorang lelaki di tandas sebuah stesen minyak di Rawang, Selangor jam 10 malam semalam.

Menurut sumber, ketika kejadian, dia memasuki tandas berkenaan dan melihat ada dua wanita lain ada di dalam tandas berkenaan.

"Ketika di dalam tandas, dia terdengar ada orang masuk ke dalam tandas. Ketika mahu keluar, tiba-tiba seorang lelaki berdiri di hadapan pintu tandas dalam keadaan tidak berbaju dan zip seluarnya terbuka.

"Lelaki itu terus menolak dan menarik wanita itu masuk ke dalam tandas. Wanita itu terpaksa bergelut sehingga ditarik ke pintu utama tandas dan lelaki itu mengunci pintu berkenaan.

"Selepas menjerit meminta tolong, lelaki itu telah membuka kunci pintu dan wanita itu berjaya lari keluar menyelamatkan diri," katanya.

Lelaki berkenaan kemudiannya dipercayai melarikan diri ke arah deretan kedai di Bandar Baru Rawang.

Wanita itu cedera ringan termasuk bengkak kaki dan badan akibat pergelutan itu sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Rawang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Kes ini juga viral di Facebook (FB) apabila pengguna dengan nama Dhiya Srikandi Qalbu mendakwa, wanita berkenaan ialah adiknya dan mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati.

"Sebagai peringatan untuk semua supaya lebih berhati-hati.Saya kongsikan 'screenshot' adik saya lari menyelamatkan diri selepas bergelut dengan suspek dalam tandas. Nasib baik adik tak jadi mangsa rogol," katanya menerusi status di FB.

Dia turut berkongsi rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) berdurasi enam saat ketika adiknya cuba melarikan diri sebaik berjaya keluar dari tandas berkenaan.

myMetro 10 Mei 2016


Gelora 'orang minyak'

RAKAMAN CCTV menunjukkan mangsa terjatuh ketika cuba melarikan diri.

Rawang: “Saya berhempas pulas bergelut dengan penjenayah ‘orang minyak’ memakai seluar dalam merah yang cuba memperkosa saya di dalam tandas sebuah stesen minyak,” kata mangsa, Ili Shahirah Mohd Diah, 30.

Dalam kejadian cemas jam 10 malam kelmarin, mangsa yang memiliki dua cahaya mata itu bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri ketika diserang di Bandar Baru Rawang.

Kejadian itu bagaimanapun menjadi viral di media sosial apabila gambar mangsa cuba melarikan diri sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Mangsa yang ditemui wartawan semalam berkata, kejadian berlaku ketika dia memasuki tandas wanita di stesen minyak itu untuk membuang air.

Menurutnya, terdapat dua wanita lain berada di dalam tandas ketika itu sebelum kedua-dua wanita itu keluar.

“Saya yang berada di dalam salah satu bilik tandas terdengar bunyi pintu dibuka dan ditutup dengan perlahan tidak lama kemudian.

“Saya mula rasa tidak sedap hati lalu segera buka pintu. Namun, saya terkejut apabila mendapati seorang lelaki berdiri di hadapan pintu dengan tidak memakai baju,” katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit didapati membuka seluar dan hanya memakai seluar dalam berwarna merah ketika itu.

“Saya sangkakan dia mungkin mabuk dan tersilap tandas, namun tiada bau alkohol pada badan suspek,” katanya.

Ila berkata suspek dengan pantas menolaknya masuk ke dalam tandas semula tetapi tidak berjaya kerana dia melawan.

“Lebih dua kali saya ditarik, namun saya tetap melawan dan akhirnya saya jatuh di lantai. Penjenayah kemudian cuba melipat tangan saya ke belakang. Bagaimanapun saya sempat berpaut pada lubang udara di tepi tandas dan menjerit.

“Dalam keadaan kelam-kabut saya berjaya membuka pintu tandas dan berlari keluar. Suspek yang mendapati saya terjatuh kemudian cuba mengejar,” katanya.

Menurutnya, suspek kemudian berlari ke arah belakang stesen minyak selepas dia menjerit meminta tolong.

“Susulan itu saya yang cedera ringan bertindak membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

myMetro 11 Mei 2016


0 comments:

Post a Comment